ND Lala bersama anaknya, Shila Amzah
Kuala Lumpur: Pelakon, Shaarnaz Ahmad, 28, berdepan ujian apabila hasratnya untuk menghantar rombongan merisik kekasihnya, Shila Amzah, 23, sedikit terganggu berikutan bapa penyanyi itu, ND Lala mahu anaknya menumpukan perhatian kepada karier terlebih dulu.
Shaarnaz ketika dihubungi mengakui berhadapan masalah itu dan tidak menyangka keputusan dibuat bapa penyanyi terbabit sedangkan perancangan merisik kekasihnya itu hanya kira-kira sebulan lebih lagi.
“Persetujuan dicapai antara Shila dan bapanya baru-baru ini, menyaksikan Mac 2013 adalah waktu sesuai untuk kedua-dua pihak menentukan arah tuju hubungan ini. Namun, saya tidak menduga akan keputusan yang dibuat bapanya itu,” katanya bingung.
Menurut Shaarnaz, memandangkan dia kini berusia 28 tahun, perancangan mendirikan rumah tangga bersama pemenang Asian Wave 2012 itu pada Januari 2014.
“Saya menyerahkan segala-galanya kepada takdir, tambahan pula niat ini ikhlas mendirikan rumah tangga,” katanya mengharapkan ikatan cinta dengan Shila sejak dua tahun lalu terikat menerusi perkahwinan.
Bagaimanapun Shaarnaz berkata, dia tetap dengan keputusan menghantar rombongan merisik itu dan segala keputusan terserah kepada keluarga kekasihnya.
SHAARNAZ (kanan) merancang mendirikan rumah tangga dengan Shila pada Januari tahun depan.
“Diharapkan pertemuan pada Mac ini adalah detik manis buat keluarga saya dan Shila untuk mengenali, seterusnya menetapkan tarikh pernikahan sebenar,” katanya memaklumkan keluarganya sudah mengenali keluarga Shila sebelum ini.
ND Lala sebelum ini dalam kenyataan media menyatakan mahu anaknya menumpukan perhatian pada karier sebelum mendirikan rumah tangga.
ND Lala ketika dihubungi tidak menjawab talian, namun mesej dikirimkan menyatakan dia dan anaknya kini berada di Shanghai, China untuk rakaman program televisyen di negara itu.
“Masa ini tak sesuai... nanti kami balik ke hotel kami akan terangkan,” katanya.
Sementara itu, Shaarnaz menolak tuduhan dia mengongkong Shila sehingga mengundang kemarahan 400,000 peminat penyanyi itu di Twitter.
“Kalau saya kongkong dia (Shila), takkanlah sampai sekarang dia masih bernyanyi. Apa-apapun, saya memohon maaf sekiranya berbuat demikian,” katanya.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
0 comments:
Post a Comment