Home » , , , , » Sharnaaz Ahmad Jauhkan Diri Dari Shila Amzah

Sharnaaz Ahmad Jauhkan Diri Dari Shila Amzah




Sharnaaz (kanan) ambil pendekatan untuk mengunci mulut dan menjauhkan diri daripada Shila selepas pelbagai kekecohan pada hubungan mereka timbul.
 

PETALING JAYA: Kekasih kepada penyanyi Shila Amzah iaitu aktor Sharnaaz Ahmad enggan memberikan komen lanjut berhubung status terkini konflik hubungan mereka.

Pemilik nama sebenar Sharnaaz Basir Ahmad, 28, berkata, dia mengambil pendekatan itu selepas timbul pelbagai kekecohan termasuk tindakan Shila yang melarikan diri daripada keluarga ekoran tertekan dengan pergeseran antara dirinya dan bapa penyanyi itu, ND Lala.

“Saya sudah tidak mahu cakap apa-apa. Selepas apa yang berlaku, saya sudah malas hendak komen lagi,” jawabnya ringkas ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Ahad.

Terbaharu, ND Lala tampil membuat kenyataan pada rancangan Melodi yang disiarkan pada Ahad di TV3, melarang aktor itu mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya dan Shila bagi mengelakkan prasangka dan fitnah yang berterusan.

ND Lala berkata, kenyataan Sharnaaz, selama ini bukan sahaja mencemarkan namanya tetapi turut memalukan keluarga.

Kisah cinta Shila dan Sharnaaz menjadi tegang apabila ND Lala dikatakan tidak merestui hubungan pasangan terbabit.

Malah Sharnaaz sebelum ini yang berhajat untuk merisik Shila pada Mac depan terpaksa membatalkan niatnya kerana masalah tersebut.

Shila yang ‘melarikan’ diri selepas pulang dari Shanghai, China minggu lalu akibat tertekan dengan konflik itu bagaimanapun sudah kembali ke pangkuan keluarga pada Sabtu.

Ditanya adakah dia menghubungi atau berjumpa dengan penyanyi itu, Sharnaaz berkata, dia lebih senang menjauhkan diri selepas apa yang berlaku.

“Memang sudah malas (berhubung) selepas apa yang berlaku. Saya tidak jumpa atau hubungi dia sebab saya sudah jauhkan diri,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, Shila memuat naikkan rakaman kesedihannya sambil menangis teresak-esak ketika menyanyikan lagu Ombak Rindu dalam YouTube selain mengharapkan kejernihan terhadap kemelut yang melanda.

Oleh WAHIDUZZAMAN

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.